Friday, October 10, 2008

zikrul maut

Dan Allah s.w.t berfirman "kullu nafsin zaa ikatul maut", setiap jiwa itu pasti akan merasai mati. Demikianlah hakikat yang telah Allah tetapkan di dunia ini yang tidak ada seorang manusia pun yang akan terlepas darinya. Apabila datangnya berita tentang kematian kepada kita, maka kita katakan "innalillahi wa inna ilaihi raa ji uun".
Adapun kematian itu, suatu hikmah yang Allah s.w.t telah jadikan buat kita. Dan ditakdirkan bahawa semua manusia itu mempunyai ajalnya masing-masing, mungkin sekumpulan manusia mempunyai ajal yang sama detiknya, namun begitu tidak semua manusia akan menemui ajalnya serentak pada suatu masa. Itulah hikmahnya pada kita, sebahagian dari kita Allah s.w.t menarik nyawanya untuk kembali ke pangkuan-Nya, namun begitu sebahagian dari kita yang masih ada di sini, Allah s.w.t terus memberikan nyawa pada kita untuk hidup. Dan tujuan Allah jadikan senario sedemikian, sebahagian mati dan sebahagian hidup, tidak lain adalah untuk menjadikan kematian itu satu iktibar dan ada hikmah buat pengajaran kita bersama.
(Shad:27)
shad
27. Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta Segala Yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan Yang tidak mengandungi Hikmah dan keadilan; Yang demikian adalah sangkaan orang-orang Yang kafir! maka kecelakaanlah bagi orang-orang Yang kafir itu dari azab neraka.
Maka marilah sahabat sekalian, kita persoalkan diri kita, apakah yang wujud disebalik kematian yang bergilir-gilir ini? Dan apakah tujuan Allah s.w.t memberikan kita peluang untuk mendengar berita tentang kematian terlebih dahulu sebelum kita sendiri dimatikan? Atau lebih besar lagi, apakah tujuan Allah s.w.t membawa kita ke sini pada hari ini, untuk berkumpul bersama dan mengingati pemergian saudara kita yang kita kasihi ini?
InsyaAllah, berkat hidayahnya, jika kita renung dengan teliti, tidak lain dan tidak bukan, tujuan Allah s.w.t menjadikan hakikat maut ini sebegitu rupa, hanyalah supaya kita berhenti sejenak dalam kehidupan kita ini, agar dapat kita menilai kembali, dan mengingatkan kepada diri kita, bahawasanya kita ini adalah hamba Allah s.w.t, yang masing-masing akan kembali ke rahmatullah suatu masa nanti.
Sehubungan itu, persoalan yang seterusnya, apakah yang kita akan dapat dari mengingati mati? Apakah mesej yang cuba Allah s.w.t sampaikan kepada kita, dengan cara menyuruh kita mengingati mati? Dan Allah s.w.t berulang kali menyebut tentang hakikat kematian ini di dalam Al-Quran, antaranya yang saya mampu ingat ialah:-
(munafiqun:11)
munafiqun
11. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu Yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai Segala Yang kamu kerjakan.
(sajdah:11)
sajdah
11. Katakanlah (Wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil maut Yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)".
Dan insyaAllah, jika kita hayati maksud Al-Quran al karim, kita akan jumpa banyak lagi,mungkin terlalu banyak untuk saya ingati buat masa ini.
Jadi, apakah jawapannya? Mengapakah Allah s.w.t kerapkali menekankan tentang aspek kematian dan kehidupan di akhirat? Sedangkan antara wahyu yang awal yang di sampaikan oleh Nabi s.a.w di Bukit Safa, adalah menekankan tentang azab di akhirat dan balasan bagi manusia yang hidup di dunia ini? Maka melihat hakikat itu, Allah s.w.t sebenarnya cuba menjelaskan kepada kita, bahawa dunia ini hanyalah sementara, dan akhirat itulah kekal abadi dan kehidupan kita yang sebenarnya.
Sahabat sekalian, tidak ada sesiapa pun yang tahu di mana dan bila akan tiba ajalnya. Sehebat ilmu Einstein, tidak mampu beliau untuk meramalkan kematiannya. Allah mejadikan ajal sebagai satu misteri, adalah supaya kita beramal berterusan dan istiqamah dalam hidup sebagai muslim. Apabila tiba ajal kita, tidak ada yang mampu menghalang lagi, "la yastaqdimuun wa la yas ta'khiruun", tidak boleh di awalkan dan tidak pula boleh di lewatkan, ianya pasti akan menepati jadual. Maka, pada ketika itu, setakat dosa yang telah kita buat, betapa banyaknya dosa yang kita telah lakukan selama ini, itulah yang akan kita bawa pulang menghadap mizan. Dan itulah yang akan kita kendong untuk melintasi titan sirat nanti. Apakah kita sempat bertaubat sebelum kita mati? Itu terserah kepada kita, sama ada kita ingin menangguh taubat atau sebaliknya. Cuma ingatlah sahabat sekalian, janganlah kita termasuk dalam kaum-kaum yang menyesal, yang telah Allah ingatkan pada kita berulang kali, seperti dalam ayatnya:-
(sajdah:12)
sajdah
12. Dan (sungguh ngeri) sekiranya Engkau melihat ketika orang-orang Yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, Kami telah melihat dan mendengar Dengan sejelas-jelasnya (akan Segala Yang Kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah Kami ke dunia supaya Kami mengerjakan amal-amal Yang baik; Sesungguhnya Kami sekarang telah yakin".
Persoalannya, adakah aku sudah bersedia? Apakah aku telah sebenar-benarnya muslim? Beringatlah kita kepada ayat ini:-
(baqarah:208)
baqarah
208. Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.
Yang dinamakan islam itu ialah segala-galanya. Dan yang di katakan muslim itu ialah seseorang yang meliputi segala skop hidupnya dengan cara hidup islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Dan itu tidak terbatas kepada cara berpakaian, cara beribadah, malah termasuk dengan islam itu matlamat hidup, perlaksanaan matlamat hidup, hubungan sesama manusia, juga apabila kita telah muslim, apakah kita telah menjadikan suasana sekeliling kita itu turut muslim sesama kita, dan ini dituntut oleh Allah s.w.t:-
(ahzab:46)
ahzab
46. Dan juga sebagai Penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada ugama Allah Dengan taufiq Yang diberiNya; dan sebagai lampu Yang menerangi.
Sahabat sekalian, semoga kita dapat mengecapi pada hari ini, bahawa kesedihan kita atas kehilangan sahabat yang kita yang kita kasihi, perlu kita sertakan dengan kesedaran bahawa kita masih hidup, dan perlu meneruskan hidup ini,dan Allah telah memberi peringatan kepada kita untuk kembali beriman kepada-Nya, melalui peristiwa ini. Semoga dengan peringatan ringkas ini, mudah-mudahan Allah mencampakkan bantuanNya di hati kita, agar kita sama-sama dapat berusaha untuk memahami tanggungjawab kita sebagai seorang muslim, seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya.

0 comments: